Dato’ Seri Amirudin Shari bertanyakan keadaan mangsa banjir Azizah Kanna, 66, (kiri) dan dua orang lagi rakannya ketika lawatan beliau ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Kajang pada 4 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB santuni mangsa banjir Hulu Langat, hulur bantuan

HULU LANGAT, 4 NOV: Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa hampir sejam melawat keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai, di sini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba sekitar jam 5.45 petang disambut Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof.

Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Langat Najmuddin Jemain, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dato’ Zul-kefli @ Zulkefli Khalid dan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) SV Kalaiselvam.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat disampaikan Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Ir SV Kalaiselvam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 4 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Amirudin diberi taklimat awal oleh Kalaiselvam mengenai kadar turun hujan yang tinggi menjadi punca banjir berikutan Sungai Langat tidak mampu menampung kapasiti air.

Usai taklimat, beliau beramah mesra dengan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu selain menyerahkan bantuan keperluan asas.

Terdahulu, seramai 60 keluarga ditempatkan di pusat itu sejak pagi tadi selepas kediaman mereka ditenggelami air.

Sementara itu, satu lagi PPS turut dibuka di Kompleks Penghulu Batu 10, di sini bagi menempatkan seramai 50 keluarga.

Kesemua mangsa di kedua-dua PPS dari tujuh perkampungan dalam mukim Hulu Langat iaitu Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17 dan Kampung Sungai Serai.


Pengarang :