Dato’ Seri Amirudin Shari semasa pelancaran program 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender di Foyer SUK, Shah Alam pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor cadang PKPD beberapa lokaliti tinggi kes Covid-19

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti seperti dilaksanakan di asrama pekerja kilang Top Glove, Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari berkata cadangan pelaksanaan itu mengambil kira lokaliti dan kluster yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Katanya setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti dua lokaliti yang wajar dilaksanakan PKPD.

“Petang ini saya akan cadangkan dalam mesyuarat khas mengenai PKPD di beberapa lokaliti lain dengan kaedah hampir sama (asrama pekerja kilang Top Glove).

“Sekurang-kurangnya ada dua lagi kawasan (pelaksanaan PKPD) yang diteliti dan kita akan biayai sendiri kos operasi (jika PKPD dilaksanakan di lokaliti berkenaan),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan program 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender sempena sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Selangor mencatatkan peningkatan kes Covid-19 apabila merekodkan 1,623 kes jangkitan baharu semalam sekali gus menjadikan kes aktif terkumpul berjumlah 5,016.

Klang mencatatkan kes aktif tertinggi iaitu 4,022 diikuti Hulu Langat (424); Petaling (274); Sepang (131); Kuala Langat (80); Gombak (61); Hulu Selangor (12) dan Kuala Selangor (10).

Secara keseluruhan, Selangor merekodkan kes kumulatif sebanyak 12,576.


Pengarang :