Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melawat Loji Rawatan Air Sungai Semenyih pada 4 Oktober 2020 bagi meninjau situasi pencemaran yang berlaku. Foto Facebook AMIRUDIN SHARI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tidak langgar kuarantin, tiga ujian Covid-19 negatif

SHAH ALAM, 2 NOV: Dato’ Menteri Besar tidak pernah melanggar arahan kuarantin di rumah, malah beliau ada surat pelepasan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia berikutan tiga ujian Covid-19 negatif.

Justeru, setiausaha sulitnya meminta semua pihak tidak mempolemikkan kunjungan Dato’ Seri Amirudin Shari ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih bagi menangani isu pencemaran.

Saifudin Shafi Muhammad berkata perbuatan sedemikian hanya menambah beban polis, apatah lagi sebahagian mereka terpaksa menjalani kuarantin dalam gelombang ketiga pandemik.

“Pejabat Dato’ Menteri Besar (juga) memberikan jaminan bahawa Amirudin akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam memastikan keluhuran undang-undang terus dihormati dan terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 22 Oktober, Polis dilaporkan membuka kertas siasatan ke atas Amirudin yang didakwa melanggar arahan kuarantin wajib Covid-19.

Pagi tadi, Pejabat Dato’ Menteri Besar menerima kertas siasatan mengikut Seksyen 15 dan 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana Amirudin didakwa melanggar perintah tersebut.

Pada 4 Oktober, Amirudin dan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melawat LRA Sungai Semenyih bagi meninjau situasi pencemaran yang berpunca dari Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.

Keadaan itu mengakibatkan 274 kawasan membabitkan 309,687 akaun pengguna di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air.

Saifuddin menjelaskan Amirudin menjalani tiga ujian Covid-19 antara 28 September hingga 9 November menggunakan kaedah reaksi rantai transkripsi-polimerase terbalik (RT-PCR), semuanya negatif.

Berdasarkan arahan kerajaan persekutuan, beliau berkata Amirudin tidak perlu menjalani kuarantin, apatah lagi beliau diberi surat pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) ekoran keputusan ujian itu.

“Namun, atas prinsip kebertanggungjawaban beliau tetap menjalankan kuarantin kendiri sebagai langkah berhati-hati dan bertanggungjawab melebihi syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.


Pengarang :