Anggota penguat kuasa MBSA melakukan pemeriksaan pematuhan SOP ke atas peniaga sekitar Shah Alam. Foto MBSA
PBTSELANGOR

MBSA periksa 4,113 premis, 783 dikompaun

SHAH ALAM, 24 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memantau 4,113 premis perniagaan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata daripada jumlah itu sebanyak 104 notis amaran dikeluarkan dan 783 premis dikompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Premis tersebut juga dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK)  Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian, UUK Iklan, UUK Pengendali Makanan  dan UUK Establisymen Makanan, ” kata Shahrin Ahmad ketika dihubungi.

Shahrin berkata MBSA turut memperluaskan aktiviti nyah cemar di premis kediaman, balai polis, pusat komersial sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, MBSA berharap masyarakat cakna terhadap langkah pencegahan penularan jangkitan Covid-19 demi menjaga kesejahteraan penduduk.


Pengarang :