Penguat kuasa MBSA menunda kenderaan terbiar di sekitar Shah Alam sejak awal tahun sehingga September 2020. Foto MBSA
PBTSELANGOR

MBSA tunda 782 kenderaan terbiar sehingga September

SHAH ALAM, 14 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menunda 782 kenderaan terbiar melalui pelbagai operasi sejak awal tahun sehingga September lalu.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya Shahrin Ahmad berkata penundaan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil Taman (MBSA) 2005 di bawah Seksyen 46 (1) (e).

“Kenderaan ini dihantar ke Depoh Simpanan Tunda di Seksyen U16, Seksyen 17 dan Seksyen 31 Shah Alam dengan caj bagi simpanan di depoh sebanyak RM10 sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi penundaan itu bagi memastikan kenderaan terbiar di tempat awam tidak mendatangkan bahaya kepada masyarakat atau menimbulkan masalah lalu lintas.

“Kenderaan terbiar juga boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.  Justeru, orang ramai dinasihat tidak meninggalkan kenderaan terbiar di tempat awam kerana MBSA akan mengambil tindakan,” katanya.


Pengarang :