PBTSELANGOR

MDHS anjur seminar pengurusan tenaga, capai misi rendah karbon

SHAH ALAM, 27 NOV: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada Selasa menganjurkan Seminar Kesedaran Kepentingan Pengurusan Tenaga bagi mencapai misi bandar rendah karbon menjelang 2035.

Yang Dipertuanya Dr Mohd Azhar Mohamed Ali berkata program anjuran Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia berlangsung secara dalam talian dan disertai 50 kakitangan.

“Seminar bertujuan menjadikan MDHS sebagai organisasi mengamalkan pengurusan tenaga lestari dengan langkah tepat melalui budaya berhemah, penyelenggaraan dan penggunaan peralatan cekap tenaga,” katanya dalam kenyataan pada 24 November.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan itu antara yang tersenarai menyertai Projek Rintis My Relamp dalam pelaksanaan Cabaran Rendah Karbon 2030.

Mohd Azhar berkata projek tersebut membabitkan penukaran lampu biasa kepada cekap tenaga bagi mengurangkan intensiti pelepasan karbon seluruh negara.

“Ia selaras komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus menjelang 2030,” katanya lagi.


Pengarang :