PBTSELANGOR

MDKS tawar diskaun RM20 kompaun letak kereta berbayar

SHAH ALAM, 17 NOV: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menawarkan pengurangan RM20 bagi setiap kompaun letak kereta berbayar kepada pemilik kenderaan yang mempunyai bayaran tertunggak.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan tawaran tersebut bermula 1 hingga 30 November ini.

“Langkah ini memberi ruang kepada orang ramai menjelaskan bayaran tertunggak sebelum tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

MDKS memaklumkan pihaknya dalam proses menjalankan tindakan tersebut bagi Orang Kena Kompaun (OKK) yang mempunyai kesalahan kompaun tegar dijangka dibuat selepas tamat tempoh kempen tawaran itu.

Orang ramai boleh menikmati kadar khas itu dengan membuat pembayaran atau semakan menerusi Kaunter Pandu Lalu Ibu Pejabat MDKS atau melalui aplikasi telefon pintar Smart Selangor Parking dan Flexi Parking.


Pengarang :