Kumpulan Wang Simpanan Pekerja merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM15.85 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Keluarkan Akaun 1 KWSP diperluas, maksimum RM10,000

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Program i-Sinar kini dibuka dan diperluaskan kepada kesemua lapan juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas, dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tidak kira sama ada pencarum hilang pekerjaan atau terkurang pendapatan tahun ini, mereka layak untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 1.

“Tanpa mengira sama ada ahli tersebut merupakan pekerja di sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak.

“Selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata pencarum hanya perlu hadir ke cawangan KWSP dengan membawa bukti kehilangan pekerjaan, notis atau cuti tanpa gaji, potongan gaji serta elaun atau kerja lebih masa, mahupun pengurangan pendapatan sekiranya bekerja sendiri atau boleh memohon secara dalam talian.

Tengku Zafrul berkata kerajaan terus peka dan mendengar semua rungutan ahli dan cetusan pendapat daripada kalangan Ahli Parlimen mengenai syarat yang terlalu ketat.

Setiap langkah melibatkan pengeluaran KWSP perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab kerana amanah yang dipikul adalah untuk semua ahli, baik mereka yang mahu mengeluarkan dan juga bagi ahli yang tidak mahu, katanya.

Beliau berkata akhirnya, adalah tanggungjawab kerajaan untuk mencari titik keseimbangan di antara keperluan pengeluaran hari ini dengan keselamatan persaraan untuk hari esok.

“Majoriti caruman KWSP akan dilaburkan ke dalam instrumen pelaburan jangka panjang dan bukan dalam bentuk tunai. Oleh sebab itu, setiap pengeluaran luar jangka seperti ini memerlukan perincian dan pertimbangan yang rapi.

“Segala isu berkaitan Akaun 1 KWSP berbalik kepada mencari satu titik keseimbangan di antara pengeluaran untuk kelangsungan hidup hari ini dan menjamin kesejahteraan persaraan masa hadapan,” katanya.

Program i-Sinar sebelum ini hanya membenarkan pengeluaran oleh kira-kira dua juta pencarum dengan had maksimum pengeluaran RM9,000, bergantung kepada baki caruman di dalam Akaun 1.

-BERNAMA

 


Pengarang :