Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dibasahi hujan selepas melakukan proses sanitasi di pos kawalan Asrama Pekerja Wanita Top Glove Corporation Bhd yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Abadi 7 Meru Klang pada 24 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: PKPB Selangor mungkin lanjut jika kes Covid-19 naik

SHAH ALAM, 25 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berakhir 6 Disember ini, mungkin dilanjutkan sekiranya terdapat pertambahan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun, berkata perkara itu ditentukan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat penilaian risiko di lokasi PKPB berkenaan.

“Kita akan umumkan perkara ini (sama ada dilanjutkan PKPB atau tidak) berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan KKM dalam minggu terakhir sebelum 6 Dis ini.

“Sekiranya terdapat pertambahan kes positif baharu di kawasan-kawasan ini, mungkin PKPB dilanjutkan tetapi sekiranya tiada jangkitan baharu ia akan ditamatkan,” katanya pada sidang media hari ini.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sepatutnya tamat pada 9 November lalu disambung sehingga 6 Disember ini.


Pengarang :