Anggota polis dan tentera memeriksa surat kebenaran merentas daerah ketika melakukan sekatan jalan raya di Jalan Bukit Bintang bagi memastikan orang awam tidak melanggar Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MKN bentang dasar, polisi baharu PKPB, PKPP Sabtu ini – menteri

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka membentangkan keputusan mengenai sebarang perubahan dasar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada mesyuarat khas Sabtu ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak MKN membincangkan beberapa tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan perkara itu pada mesyuarat jawatankuasa teknikal pagi tadi namun belum membuat sebarang keputusan.

“Kita akan bincang semula dalam mesyuarat khas MKN kerana pada mesyuarat itu kita akan buat keputusan berdasarkan dasar, polisi baharu yang mungkin mempunyai sedikit perubahan kalau ada,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP, di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati menipu, menukar cecair pembasmi kuman dengan cecair peluntur.

Perbuatan itu katanya tidak bertanggungjawab kerana boleh membahayakan kesihatan orang awam.

“Macam-macam kesan sampingan mungkin akan berlaku kalau menggunakan cecair pencuci lantai untuk mencuci tangan, mungkin membawa kesan teruk kepada kesihatan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :