PBTSELANGOR

MPKj sita 11 lori buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita 11 lori terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram di daerah itu sepanjang bulan ini.

Yang Dipertua Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid berkata tindakan dibuat menerusi operasi gempur Unit Alam Sekitar dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj.

“Tiga lori disita di Jalan Kuari Sungai Long, Sungai Serai, Hulu Langat manakala lapan lagi di lain-lain kawasan seluruh MPKj yang tidak dijalankan secara komersial.

“Sebanyak 31 kompaun dikeluarkan atas kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 4 dan UUK 13(1) Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata jumlah itu berkurang berbanding beberapa bulan sebelum ini berikutan operasi statik di pintu masuk tapak sampah haram.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan itu sentiasa komited membanteras kegiatan pembuangan sampah haram bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.


Pengarang :