Atlet wushu sanda menjalani latihan bagi persiapan SUKMA di Pusat Latihan Kelab Wushu KK Chia, Selayang pada 5 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

MSN anjur sesi kaunseling, pantau mental dan fizikal atlet

SHAH ALAM, 28 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bakal mengadakan sesi kaunseling melibatkan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) bulan depan, kata pengarah eksekutifnya.

Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya sentiasa memantau tahap kesihatan mental atlet selain memberi sokongan moral susulan pembatalan SUKMA Johor 2020.

“Kita memahami atlet sudah lama berlatih tetapi tiada kejohanan disertai. Keadaan ini memberi kesan kepada mereka, jadi MSN perlu mengambil tanggungjawab menjaga kesihatan atlet sama ada fizikal atau mental.

Mohamad Nizam Marjugi

“Insya-Allah sesi psikologi atlet diadakan bulan depan, aspek ini harus diberi penekanan kerana kita mahu atlet negeri sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya kepada SelangorKini.

SUKMA dan Para SUKMA 2020 Johor dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

SUKMA yang sepatutnya berlangsung pada Julai ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021, sebelum dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April.


Pengarang :