Skuad ragbi wanita Selangor mempamerkan teknik hantaran bola sebagai latihan persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor tahun hadapan ketika ditemui di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 7 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

MSN nilai semula status jurulatih Sukma Selangor

SHAH ALAM, 14 NOV: Status kontrak 92 jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) Selangor bergantung kepada keperluan kejohanan pada 2022, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN).

Mohamad Nizam Marjugi berkata kontrak mereka berakhir Mac tahun depan bagaimanapun akan dinilai semula secepat mungkin bagi memastikan prestasi serta persiapan atlet berada tahap terbaik.

“Kebiasaannya persiapan dilakukan setahun sebelum kejohanan berlangsung, jadi sekiranya Sukma diadakan pada 2022 kita kena pastikan persiapan atlet dimulakan sejak awal 2021.

“Insya-Allah kontrak semua jurulatih akan disambung tetapi kita akan nilaikan semula berdasar keputusan teknikal di peringkat MSN,” katanya.

Sukma dan Para Sukma 2020 Johor dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021, sebelum dijadualkan semula ke 2 hingga 10 April.


Pengarang :