Suhaimi Kamaralzaman bersama-sama ADN Bukit Gasing R.Rajiv meninjau salah sebuah rumah yang mula menerima bekalan air di Flat Taman Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 11 November 2020. Foto: Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mulai pulih hari ini, 1,279 kawasan dapat bekalan air berperingkat

SHAH ALAM, 11 NOV: Setelah pencemaran bau dapat diatasi sepenuhnya, bekalan air kepada pengguna yang terjejas mula dipulihkan berperingkat-peringkat mulai 1.45 petang tadi.

Sebanyak 599 kawasan dijangka pulih sepenuhnya jam 3 petang esok dan bakinya 680 kawasan pulih jam 3 petang 13 November, kata ketua pegawai eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Keempat-empat loji kami, Loji Rawatan Air (LRA) SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 2.40 pagi tadi, setelah bacaan 0 TON direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Bekalan air juga dapat diagihkan lebih awal iaitu pada jam 1:45 petang tadi, berikutan penyaluran air bersih pada sistem agihan berjalan lancar,” kata Suhaimi Kamaralzaman dalam kenyataannya.

Suhaimi Kamaralzaman bersama-sama ADN Bukit Gasing R.Rajiv mengagihkan air botol minuman kepada penduduk di Flat Taman Gasing Indah, Petaling Jaya pada 11 November 2020. Foto: Air Selangor

“Kami di Air Selangor faham kerisauan dihadapi pengguna dalam mendapatkan bekalan air bersih terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

“Justeru, kita akan terus berusaha untuk beri bantuan bekalan air melalui 111 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan,” katanya lagi.

Beliau berkata bantuan bekalan air alternatif juga disediakan di 14 pili air awam dan 17 Pusat Khidmat Setempat untuk membantu pengguna terjejas.

Menurutnya, air dibekalkan kepada pengguna juga melalui ujian kualiti air dan pematuhan berdasarkan kepada tatacara Kementerian Kesihatan serta disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Kami juga kecewa dengan pencemaran yang kerap berlaku kerana ia menjadi punca loji terpaksa ditutup dan secara langsung beri impak kepada pengguna.

“Justeru, kami sokong usaha pihak berkuasa untuk banteras jenayah alam sekitar agar sungai tidak terus tercemar,” katanya.

Bagaimanapun, Air Selangor menasihatkan pengguna yang sudah mendapat bekalan air agar guna secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar seperti dijadualkan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini pemulihan bekalan air di https://www.airselangor.com dan di Facebook Air Selangor .


Pengarang :