Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka rendah minggu depan berikutan pembetulan teknikal selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics berpejabat di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata India yang juga pengimport terbesar minyak sawit dan mempunyai penduduk seramai 1.3 bilion orang, telah mendapatkan pembelian minyak sayuran serta menjangkakan penghantaran minyak sawit Malaysia ke negara itu.

“Lembaga Minyak Sawit Malaysia dijangka mengeluarkan data penawaran dan permintaan bulanan pada Selasa depan yang dijangkakan lebih rendah berbanding Oktober. Ini sememangnya telah dijangkakan pada minggu ini dan berikutan itu, kita akan menyaksikan beberapa pembetulan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pasaran hadapan MSM ditutup rendah pada Jumaat susulan aktiviti pengambilan untung selain kedudukan menjelang laporan MPOB bagi Oktober dan data Jabatan Pertanian Amerika Syarikat yang dijadualkan minggu depan.

“Prestasi minyak makan lebih memberangsangkan pada minggu ini. Di kawasan lain, prospek minyak bunga matahari yang rendah di Ukraine serta unjuran penyusutan kacang soya di Brazil hanya mendorong kenaikan harga MSM pada minggu ini,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, harga MSM kebanyakannya tinggi susulan penurunan pengeluaran dan pengukuhan harga minyak soya di Lembaga Dagangan Chicago.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi November 2020 menokok RM152 kepada RM3,405 satu tan, Disember 2020 naik RM175 kepada RM3,352 satu tan, Januari 2021 meningkat RM170 kepada RM3,181 satu tan manakala Februari 2021 menambah RM166 kepada RM3,095 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 315,548 lot daripada 274,134 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 275,289 kontrak daripada 259,678 kontrak, sebelum ini.

Di pasaran fizikal, November Selatan berjumlah RM3,280 satu tan.

– BERNAMA


Pengarang :