Karsten Neitzel. Foto laman web Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Nietzel mampu bawa semula kegemilangan Red Giants

SHAH ALAM, 21 NOV: Pelantikan jurulatih baharu Karsten Neitzel disambut baik pemain Selangor bagi mengembalikan kegemilangan pasukan juara Piala Malaysia 33 kali itu.

Penyerang Red Giants Sean Eugene Selvaraj teruja untuk bekerjasama dengan pengendali berusia 52 tahun dari Jerman itu, yang memiliki pengalaman luas dalam arena bola sepak.

“Pertama kali berjumpa beliau sangat ramah dan jujur dengan kata-katanya serta berpengalaman luas di pentas Eropah dan Asia.

“Saya berharap dapat belajar banyak daripadanya dan memperbaiki apa jua aspek,” katanya dalam laporan disiarkan laman web Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 19 November.

Sean yang beraksi dalam 53 perlawanan berharap pendekatan diamalkan Neitzel mampu meningkatkan semula kualiti pemain dan mengembalikan prestasi sebenar Selangor musim hadapan.

Red Giants secara rasmi mengumumkan Neitzel sebagai jurulatih baharu bagi menggantikan B Sathianathan pada 16 November.

Neitzal pernah menjadi pengurus pasukan Divisyen 4 Jerman, Kelab RW Essen sebelum menjadi penasihat kepada SW Essen dan timbalan ketua jurulatih di Liga Jepun (JLeague) bersama Urawa Reds.


Pengarang :