Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat membahaskan Belanjawan 2021. Foto: Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PAKATAN teliti Belanjawan 2021, nyata pendirian peringkat kementerian

SHAH ALAM, 27 NOV: Keputusan tidak membuat undi belah bahagi Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 semalam sebagai langkah meneliti keseluruhan belanjawan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang berkata melalui tindakan itu, ahli parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) boleh melihat dengan lebih terperinci penerangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Ahli parlimen berhak mempersoal sama ada ia merupakan peruntukan tambahan atau hasil pemotongan dari mana-mana kementerian.

“Kita boleh soalkan juga jumlah sebenar belanjawan, kesan terhadap situasi kewangan negara, isu pemandu teksi dan pengusaha kantin mendambakan bantuan selain isu pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta moratorium,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pengerusi PAKATAN berkata pendirian mereka masih boleh ditegaskan melalui peringkat jawatankuasa.

“Sejarah perjalanan parlimen Malaysia belum pernah meminda belanjawan dengan jumlah atau dengan cara seperti ini.

“Ini tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar parlimen,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU itu selepas mendapat sokongan majoriti ahli parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.


Pengarang :