Selangorkini
EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ng Sze Han ketika sesi perbahasan Sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 4 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT sita lebih 1,500 premis dimonopoli warga asing sepanjang PKP

SHAH ALAM, 9 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) menyita sejumlah 1,694 premis dimonopoli warga asing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO kerajaan tempatan berkata sitaan tertinggi dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam iaitu 429 diikuti Majlis Perbandaran Ampang Jaya sebanyak 267 serta Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Hulu Selangor masing-masing 236.

“Mengikut data, sejumlah 1,232 peniaga warga asing dikesan memonopoli perniagaan di negeri ini dan paling ramai adalah dalam kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya iaitu 1,013,” kata Ng Sze Han.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Harumaini Omar pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri memerlukan kerjasama agensi lain bagi menangani isu pendatang asing yang cuba memonopoli perniagaan di negara ini.

“PBT tiada kuasa lakukan tangkapan, sekiranya ada tangkapan, ia adalah menerusi operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen.

“Untuk tangani masalah sepenuhnya, kita perlukan kerjasama imigresen tangkap warga asing tanpa permit yang sah,” katanya menjawab soalan tambahan ADN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

 


Pengarang :