Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) melihat aktiviti dijalankan anak-anak petugas barisan hadapan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Frontliners, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Wisma Sunway, Shah Alam pada 17 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pekawanis sumbang alatan pembelajaran kepada anak petugas hadapan

SHAH ALAM, 17 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyerahkan barangan pembelajaran kepada dua taska tambahan diwujudkan Kerajaan Negeri.

Yang dipertuanya berkata sumbangan peralatan iaitu kertas lukisan membolehkan anak petugas barisan hadapan ditempatkan di situ mengisi masa dengan aktiviti berfaedah.

“Barangan lain diberikan adalah pelitup muka.

“Melalui lawatan hari ini, Pekawanis turut melihat barangan lain diperlukan memandangkan taska ini didirikan dalam masa singkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan. Tujuh lagi taska akan dilawat dalam masa terdekat,” kata Datin Seri Masdiana Muhamad kepada pemberita.

Yang Dipertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) memakaikan pelitup muka kepada anak-anak petugas barisan hadapan ketika melawat Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Frontliners, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Wisma Sunway, Shah Alam pada 17 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, isteri Dato’ Menteri Besar itu melakukan lawatan ke taska tambahan di Hospital Shah Alam serta di bangunan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Oktober lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pengaktifan semula sembilan taska tambahan sebagai tempat penjagaan anak petugas barisan hadapan sepanjang PKPB.

Lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.


Pengarang :