AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelepasan yuran asas, Kuis jangka jumlah pelajar bertambah

SHAH ALAM, 1 NOV: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menjangka kemasukan pelajar baharu akan bertambah tahun hadapan susulan pengenalan program pelepasan yuran asas.

Rektornya berkata Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu) mendorong minat pelajar untuk menyambung pengajian kerana mampu meringankan kos dan beban ibu bapa.

“Difahamkan ia diberikan kepada semua pelajar meliputi yuran ko-kurikulum dan teknologi maklumat (IT) tetapi perincian ini akan dimaklumkan nanti.

“Insentif ini memberi impak besar dan diharap pelajar di luar negeri atau anak Selangor memilih Kuis kerana kita menawarkan pelbagai program dalam bidang pengajian Islam serta Sains Sosial,” kata Prof Dato’ Ab Halim Tamuri ketika dihubungi.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program Bayu iaitu pelepasan bagi yuran asas kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kuis pada 2021 dengan peruntukan RM4 juta.

Selain itu, kedua-dua institusi pengajian tinggi terbabit turut menerima dana RM35 juta secara pinjaman bagi memastikan operasinya berjalan lancar.

Mengulas lanjut, Ab Halim berkata dana tersebut akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan institusi berkenaan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana sentiasa prihatin malah banyak bantuan diberikan sebelum ini demi kepentingan warga Kuis,” katanya.


Pengarang :