Kelihatan orang awam mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka sebelum memasuki kedai ketika tinjauan di Jalan Besar, Klang pada 10 Okt 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Peluang kerja baharu ketika pandemik Covid-19

Oleh Shanika Abdullatib

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Pada April semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pereka CAD (reka bentuk bantuan komputer) Najihah Omar berhadapan dengan dilema.

Ini susulan syarikat tempat beliau bekerja menghadapi masalah dan hampir ditutup dan beliau pula berhadapan dengan pilihan sama ada berhenti daripada pekerjaan yang sangat beliau minati atau tunggu sahaja untuk diberhentikan.

Namun beliau mengambil keputusan nekad untuk berhenti sahaja dan berharap dapat mencari pekerjaan baharu setelah kerajaan melonggarkan perintah sekatan pergerakan.

Untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai pada waktu ini bukanlah suatu yang mudah bagi Najihah, yang berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang seni bina, dan memandangkan wang simpanannya semakin berkurangan, beliau menerima sahaja tawaran kerja sebagai guru taska. Namun selepas itu, beliau mendapat tawaran kerja sebagai pereka grafik, yang diterimanya, walaupun gajinya rendah.

Najiha adalah antara ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan masing-masing apabila wabak Covid-19 melanda negara.

Kini setelah lapan bulan berlalu, keadaan nampaknya semakin baik kerana pasaran pekerjaan di Malaysia menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pengangguran bagi Ogos turun sebanyak 3,500 kepada 741,600.

Digitalisasi wujudkan lebih banyak kerja

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, walaupun wabak Covid-19 menjejaskan banyak syarikat dan menaikkan kadar pengangguran, namun banyak peluang baharu diwujudkan sepanjang krisis ini.

Malahan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan pada Ogos sahaja 20,000 syarikat ditubuhkan berbanding 20,000 syarikat yang ditutup antara Mac dan September tahun ini.

“Digitalisasi adalah trend sekarang. Dalam tempoh pandemik ini menyaksikan lonjakan perniagaan dalam talian, dan media sosial dan webinar digunakan sepenuhnya dalam perniagaan,” katanya kepada Bernama dan menambah adalah penting bagi pekerja untuk mempelajari satu set kemahiran baharu yang melibatkan internet untuk segalanya (IoT), kecerdasan buatan dan data besar agar mereka mendapat kelebihan dalam pasaran kerja.

Pengurus Universiti Lazada Malaysia Hansini Thedchanamoorthy menyampaikan taklimat mengenai platform e-dagang dalam program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di Bukit Raja, Klang pada 22 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Hua Keong juga berharap agar kerajaan dapat memperuntukkan lebih banyak geran untuk membolehkan PKS melatih atau meningkatkan kemahiran pekerjanya sehingga mereka dapat menyesuaikan diri dalam suasana normal baharu perniagaan.

“Kami bersetuju sekiranya banyak geran disalurkan kepada PKS untuk membantu mereka dalam transformasi digital dan pinjaman mudah termasuk subsidi gaji oleh kerajaan juga diberikan untuk PKS bagi mengekalkan pekerjanya.

“Namun, ada (banyak) birokrasi dalam sistem ini terutama ketika membantu PKS dalam pendigitalan serta mendapatkan pinjaman bank untuk membantu mereka agar aliran tunai tetap dapat diteruskan dan mengekalkan pekerja,” katanya.

Hua Keong berharap kerajaan dapat meningkatkan geran yang sesuai untuk PKS agar dapat menyesuaikan diri dengan digitalisasi dari RM5,000 sekarang kepada antara RM10,000-RM15,000 setiap syarikat.

Beliau berharap jumlah penerima bantuan akan meningkat dari 100,000 kepada 300,000.

“Usaha ini akan membolehkan lebih banyak PKS dapat mengharungi masalah ketika wabak ini dan menyelamatkan perniagaan dan pekerja mereka,” tambahnya.

Perniagaan kecil, keuntungan besar

Pengarah kanan Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Nik Maheran Nik Muhammad menggesa para usahawan agar menukar gaya perniagaan lama kepada model digital kerana yang lama itu tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

Malah, perniagaan kecil dalam talian boleh lebih menguntungkan daripada perniagaan berskala besar.

“Istilah ‘kedai pop-up’ kini menjadi gaya baru kerana pengusaha beralih kepada perkhidmatan penghantaran dan perniagaan dalam talian,” katanya.

Kedai ‘pop-up’ merujuk kepada kedai runcit yang dibuka sementara oleh peniaga e-dagang untuk memanfaatkan permintaan bermusim untuk jenis barang tertentu. Dalam persekitaran semasa, topeng muka dan sarung tangan adalah beberapa barang yang laris di kedai ‘pop-up’.

Nik Maheran juga merujuk kepada syarikat teknologi digital seperti Amazon, Shopee, Pos Laju, GDEX dan Netflix sebagai contoh perniagaan yang mendapat keuntungan daripada suasana perniagaan baru ini.

Beliau juga menggesa agar para siswazah menceburi bidang keusahawanan memandangkan peluang pekerjaan yang terhad pada masa sekarang, dan menambah kata, berniaga sekarang tidak memerlukan modal yang besar kerana tidak perlu menyewa premis.

“Hanya belajar cara bagaimana untuk menggunakan kekuatan media sosial,” katanya dan menambah graduan juga perlu kreatif dan inovatif dalam perniagaan mereka terutama dari segi strategi pemasaran.

Mengenai Program Insentif Pengambilan – inisiatif pemulihan ekonomi dan pengurangan pengangguran di bawah Kementerian Sumber Manusia – Nik Maheran berkata, tidak semua syarikat terjejas secara negatif oleh wabak Covid-19.

“Kesan positifnya berlaku bagi beberapa syarikat, contohnya, syarikat insurans disebabkan Covid-19, orang ramai mencari peluang untuk mendapatkan perlindungan diri,” katanya.

Syarikat harta tanah juga memberi kesan positif dan mengambil lebih ramai ejen harta tanah dan perunding kerana harga harta tanah yang lebih rendah menarik ramai pembeli.

Peningkatan ‘gig workers’

Sementara itu, dengan pandemik yang mendorong ‘gig economy’ – istilah yang digunakan untuk menggambarkan ekosistem bebas di mana pekerja yang menganggur menawarkan perkhidmatan mereka secara bebas, fleksibel atau sambilan – muncul sebagai normal baru.

Mereka yang beralih kepada ekosistem bebas bukanlah mencari pendapatan tambahan atau utama sebaliknya didorong oleh fleksibiliti dari segi waktu kerja dan lokasi kerja dan kebebasan untuk memilih jenis pekerjaan yang ingin mereka lakukan. Lagipun, bayarannya juga lumayan.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ‘gig economy’ nampaknya lebih berjaya semasa wabak ini kerana aksesnya yang mudah, permintaan yang tinggi di samping percambahan teknologinya.

“Namun, fokus harus dipertingkatkan bukan setakat pengiriman makanan atau bungkusan sekiranya kita ingin mencapai status maju pada suatu masa nanti.

Kelihatan seorang penunggang p-panggilan melalui Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan untuk menghantar pesanan pada 13 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Mungkin, pekerjaan yang berkaitan dengan penyelidikan dan pembangunan, periklanan, pembangunan perisian atau apa sahaja yang berkaitan dengan teknologi canggih dan pekerjaan berkemahiran tinggi perlu dijadikan fokus utama,” katanya.

Beliau juga menekankan walaupun ‘gig economy’ menawarkan penyelesaian yang sangat cekap untuk perniagaan, serta fleksibiliti dan skala ekonomi yang boleh menjadi lebih menjimatkan, isu yang berkaitan dengan kerahsiaan dan perlindungan data harus diberi perhatian kerana ‘gig workers’ boleh diambil bekerja oleh beberapa majikan pada masa yang sama.

‘Gig economy’ menawarkan banyak kelebihan tetapi bagi Mohd Afzanizam, beliau memberi amaran platform ini tidak mempunyai jaminan sosial yang bermaksud bahawa ‘gig workers’ harus menguruskan dana persaraan mereka sendiri.

“Namun, ini dapat dilakukan dengan menyumbang kepada Skim Persaraan Swasta dan bahkan kepada KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) secara sukarela,” katanya.

Ditanya bagaimana ‘gig economy’ akan mempengaruhi golongan muda, Mohd Afzanizam berpendapat ‘gig economy’ dan semangat keusahawanan berkait rapat kerana ‘gig workers’ seharusnya bebas kerana mereka tidak terikat dengan kontrak pekerjaan biasa”.

“Oleh itu, para belia harus cekap, memiliki sikap yang betul terhadap pekerjaan dan memiliki pemahaman yang baik berhubung prospek masa hadapan terutama ketika berurusan dengan barang yang bergaya dan perkara yang dapat berkembang cepat,” tambahnya.

-BERNAMA


Pengarang :