BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Pendigitalan penuhi tuntutan pendidikan

Teks disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar yang disiarkan dalam SelangorKini edisi 26 November hingga 2 Disember 2020

Cabaran pendidikan sentiasa memerlukan kita untuk terus berinovasi dan mencuba kaedah-kaedah yang lebih segar dalam mendepani dunia, lebih-lebih lagi bagi menyediakan para pelajar untuk persekitaran pasca Covid-19.

Adakah usai penemuan vaksin nanti, kita akan kembali semula kepada pedagogi lama dengan interaksi berhadapan? Bagaimana dengan mereka yang pada waktu ini masih lagi ketinggalan dalam jurang digital—apa akan jadi pada nasib mereka nanti?

Banyak persoalan yang timbul berkenaan masa hadapan generasi yang kini disebut ‘The Lost Generation’ ini. Dengan virus yang melata tanpa belas kasihan, sekolah dan universiti terpaksa ditutup dan kadang-kadang secara mengejut, seterusnya mengakibatkan penangguhan atau pembatalan beberapa peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia serta Peperiksaan Penilaian Sijil Rendah Agama.

Mereka yang berkemampuan atau tinggal di bandar biasanya masih mampu untuk belajar secara dalam talian, walaupun membebani ahli keluarga yang lain (biasanya para ibu) sewaktu sesi persekolahan dijalankan di rumah.

Ini secara tidak langsung memerlukan sokongan semua dalam menjayakan misi pembelajaran dalam talian. Beban kepada para ibu biasanya berganda kerana mereka diharap dapat melayani kerenah anak-anak di rumah walaupun turut sama bekerja dari rumah (WFH). Ini membibitkan masalah baharu yang mana wanita mula meninggalkan pasaran kerja untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Jurang digital

Bagaimana pula dengan mereka yang di luar bandar? Tanpa kemudahan seperti komputer dan akses kepada kemudahan internet, mereka seolah-olah terputus dari alam persekolahan maya. Ini membantutkan pendidikan mereka, yang lambat laun akan menggumpal serta membawa kepada masalah lain seperti keciciran atau yang lebih berbahaya seperti menganggotai kumpulan kongsi gelap dan sebagainya.

Guru Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah Jasin, Melaka Salman Samat, 35, mendengar hafazan murid ketika pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumahnya di Taman Bukit Setongkol pada 2 Mei 2020. Foto BERNAMA

Persoalan data dan kemampuan untuk memiliki data turut mencuri tumpuan saat ini. Data internet seolah-olah sudah menjadi hak asasi rakyat. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, jurang kaya dan miskin akan semakin melebar akibat daripada tiadanya kemampuan ini.

Peranan kerajaan bukan sahaja penting di sini dalam meratakan padang permainan agar kebolehcapaian internet menjadi umum, malah turut melebar dengan mengawal serta mengurus sebarang salah guna data seperti kecurian data, penjualan data serta pemalsuan identiti yang semuanya merupakan masalah baharu zaman ini.

Ini belum lagi dibincangkan tentang pandangan awam terhadap kelompongan yang berlaku sejak tujuh atau lapan bulan lepas—adakah anak-anak yang kini ‘terkandas’ di rumah perlu mengulang semula sebelum menaiki tahap akademik seterusnya?

Semua pernyataan masalah yang disebut tadi belum lagi mengambil kira cabaran baharu yang didatangkan oleh perubahan iklim. Mungkin kita akan bincang hal berkenaan dalam makalah lain nanti.

Kita telah lihat sepintas lalu pada artikel yang lepas bagaimana negara-negara Eropah menggiatkan warganya untuk lebih mandiri dan melahirkan usahawan berbanding melahirkan pekerja. Usaha-usaha sebegini wajar dipupuk dalam minda dan sanubari warga agar mereka lebih cekal serta berdaya saing untuk terus hidup dalam persekitaran pasaran masakini.

Pendidikan berubah

Kita boleh ambil iktibar sedikit sebanyak daripada pengalaman jiran tetangga Indonesia yang mempunyai antara institusi pendidikan tertua di dunia yakni sistem pesantren.

Sistem pembelajaran mereka walaupun banyak silibusnya yang masih tradisional tetapi tetap melahirkan alumni yang teguh citranya, serta berupaya berbakti kembali kepada alma mater mereka. Keluhuran jiwa dan sikap sukarelawan yang berjaya disemai merupakan salah satu kisah kejayaan institusi ini tanpa pembiayaan langsung daripada pihak pemerintah.

Sikap dan wibawa yang ada dalam organisasi massa seperti Nahdhatul Ulama’ (NU) dan Muhammadiyah yang lebih moden cukup berpengaruh dalam membentuk minda dan jiwa masyarakat Indonesia yang majmuk dan bertoleransi.

Ternyata nilai-nilai asasi begini yang akan berkekalan dan membentuk kompas moral kepada pelajar yang baik dan kemudiannya menjadi warga yang baik.

Selangor Kerjaya dengan latihan kemahiran baharu (new skill), tingkat kemahiran (upskilling) dan pulih kemahiran (reskilling) merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri mengurangkan pengangguran sekali gus membasmi kemiskinan. Foto ARKIB SELANGORKINI

Perkara-perkara lain dalam hal-ehwal pendidikan masih terbuka untuk dibincang dan disesuaikan dengan keadaan sekarang. Pendekatan ‘gamification’ misalnya, banyak memberi dorongan kepada mereka yang tidak berminat untuk mencuba satu-satu perkara baharu, terutamanya dalam dunia akademik.

Begitu juga dengan kemahiran yang mungkin akan menjadi kebiasaan baharu dalam dunia pendidikan, yakni kemahiran pengekodan (coding). Ia mengajar para pelajar untuk berfikir dengan lebih teratur dan sistematik, serta memahamkan mereka tentang parameter yang selalu menjadi pemandu dalam satu-satu permasalahan perisian.

Kemahiran-kemahiran lain sama ada berbentuk soft skill (kemahiran insaniah) atau pun hard skill (kemahiran teknikal yang boleh dipelajari) boleh diisi kemudian sama ada melalui latihan profesional atau laluan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Justeru, Kerajaan Negeri memperkenalkan beberapa program latihan meningkatkan dan mengasah semula kemahiran semenjak pakej rangsangan ekonomi yang dahulu dan kini ditambahbaik dengan pemadanan kerja melalui Selangor Kerjaya serta pemanfaatan bakat dengan Selangor Freelance dalam Belanjawan Selangor 2021.

Dan usaha ini tidak akan pernah berhenti kerana Selangor terus mengorak langkah dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan membuat kerjasama pintar, yang terbaharu melalui program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) milik Kerajaan Negeri bersama TWI South East Asia dan juga Aerodyne Group, syarikat pengendali dron terutama di dunia.

 


Pengarang :