Keadaan jalan raya di sekitar mukim Hulu Langat yang ditenggelami air susulan banjir kilat pada 4 Nov 2020. Foto Facebook Informasi Terkini Penduduk Hulu Langat
BERITA UTAMASELANGOR

Penduduk Hulu Langat harap penyelesaian jangka panjang atasi banjir

HULU LANGAT, 30 NOV: Penduduk di daerah ini berharap Kerajaan Negeri dan Persekutuan segera melaksanakan pelan jangka panjang bagi mengatasi isu banjir setiap kali hujan lebat.

Zahrim Nordin, 65, berkata kejadian banjir pada awal bulan ini merupakan kali ketiga dialaminya sejak tinggal di kawasan Sri Nanding lebih 20 tahun.

“Rumah saya pernah dilanda banjir pada 1991 dan 2012, jadi langkah jangka panjang perlu dilakukan untuk selesaikan masalah ini,” katanya ditemui SelangorKini selepas menerima sumbangan Bakul Makanan di Dewan Serbaguna Taman Sri Nanding semalam.

Bagi Mohd Azrul Iszuddin, 35, keluarganya menanggung kerugian selepas kelengkapan rumah rosak ditenggelami banjir paras pinggang.

“Kejadian ini ibarat jatuh ditimpa tangga selepas berhenti kerja akibat Covid-19. Namun saya bersyukur Kerajaan Negeri hulur bantuan untuk meringankan beban, cuma saya harap usaha mengatasi banjir segera dilakukan,” katanya.

Harapan sama juga dikongsi S Pravin, 18, yang mahu kerajaan merangka pelan khusus bagi mengelak rakyat menanggung kerugian akibat banjir selain hanya memberi bantuan makanan dan wang.

“Hari ini saya hadir terima sumbangan bagi pihak bapa dan berterima kasih kerana beri bantuan makanan tetapi penduduk di sini berharap kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Pada 4 November, lebih lebih 500 rumah di di Hulu Langat dilanda banjir susulan hujan lebat hampir lima jam. Susulan itu Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan segera RM500 dan Bakul Makanan kepada mangsa terjejas.

Selain itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri merangka pelan Projek Tebatan Banjir (RTB) jangka masa panjang sehingga 100 tahun bagi mengatasi isu tersebut.


Pengarang :