AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Penduduk Selangor paling ramai berbelanja guna khidmat e-dagang

SHAH ALAM, 1 NOV: Penduduk Selangor menjadi pengguna paling ramai berbelanja melalui perkhidmatan e-dagang, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menurut jabatan itu, statistik berkenaan diperoleh hasil tinjauan dilakukan terhadap lapan juta isi rumah di seluruh negara.

“Data menunjukkan 2.22 juta isi rumah dari Selangor berbelanja menerusi platform e-dagang sepanjang tahun lalu diikuti Johor (984,000), Pulau Pinang (736,000), Perak (712,000) dan Kuala Lumpur (648,000).

“Bagi perbelanjaan mengikut kaum pula, Bumiputera mendahului dengan 4.69 juta isi rumah atau 58.7 peratus seterusnya Cina (2.09 juta), India (680,000) dan lain-lain (528,000),” katanya dipetik Kosmo!.

Berdasarkan dapatan tinjauan sama, Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati pakaian dan kasut menjadi antara barangan paling popular dibeli rakyat Malaysia menerusi platform berkaitan atau portal beli belah dalam talian.

“Seramai 744,000 isi rumah di seluruh negara membeli barangan tersebut sepanjang tahun lalu,” katanya.

Jabatan itu memaklumkan, isi rumah membuat perbelanjaan ke atas barangan dan perkhidmatan menerusi platform e-dagang meningkat daripada 11.3 peratus pada 2016 kepada 23.3 peratus tahun lalu.


Pengarang :