Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Penganalisis jangka ekonomi pulih lebih kukuh tahun depan

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Pertumbuhan ekonomi negara berkemungkinan besar pulih secara lebih kukuh pada 2021 dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada +6.5 peratus hingga +7.5 peratus daripada +5.5 peratus hingga +8.0 peratus, didorong oleh langkah rangsangan fiskal dan monetari.

CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berkata walaupun perkembangan ekonomi itu menjejaki aliran pada tempoh sebelum Covid-19 sehingga 2021, namun kenyataan dasar BNM baru-baru ini menunjukkan bahawa penetapan monetari pada masa ini adalah memadai.

“Kami mengulangi unjuran Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus pada akhir 2021 dan mengandaikan bahawa kadar faedah penanda aras itu akan berlanjutan pada paras itu,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata pelaksanaan pusingan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid-19 sejak 14 Oktober lepas dijangkakan mengekalkan penguncupan ekonomi negara pada suku keempat 2020.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan unjuran KDNK benar tahunan yang konservatif pada -5.4 peratus bagi 2020 dan +5.1 peratus pada 2021 dengan prospek itu ditentukan oleh elemen seperti pandemik, politik dan dasar.

Ketua Ahli Ekonominya, Suhaimi Ilias berkata aliran KDNK benar Malaysia bagi suku setakat tahun ini adalah sejajar dengan ekonomi besar, sedang pesat membangun dan ekonomi serantau lainnya.

Menurutnya, ini termasuk unjuran KDNK bagi suku keempat 2020 Malaysia pada -2.8 peratus tahun ke tahun yang menggambarkan terdapat cabaran bagi proses pemulihan di tengah-tengoh gelombang ketiga Covid-19, pusingan kedua PKPB sejak pertengahan Oktober lepas yang dilanjutkan sehingga 9 Dis, 2020.

PKPB itu kini merangkumi sembilan negeri dan tiga Wilayah Persekutuan yang menyumbang 84 peratus kepada KDNK Malaysia.

“Unjuran kami bagi 2020 menunjukkan KDNK benar suku keempat tahun ini akan menguncup sebanyak -2.8 peratus tahun ke tahun walaupun ia dijangkakan terus berkembang dengan pelarasan bukan bermusim +2.6 peratus untuk suku ke suku.

“Angka tersebut turut mengandaikan bahawa impak ekonomi semasa PKPB adalah kurang teruk berbanding sewaktu PKP. BNM pula mengunjurkan impak penyusutan KDNK daripada PKPB sekarang adalah antara RM17 bilion hingga RM22 bilion berbanding RM30 bilion hingga RM40 bilion ketika PKPB,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :