Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah bercakap pada sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Ikon Antidadah dan Program Tea Talk bersama Ikon Antidadah di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 11 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengedaran dadah masih berleluasa dalam tempoh PKPB

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Aktiviti pengedaran dadah didapati masih aktif walaupun sebahagian besar negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Tanpa mendedahkan jenis dadah yang banyak terdapat dalam pasaran, beliau berkata pihaknya mengesan bekalan dadah masih sampai kepada pengguna yang diedarkan secara langsung menggunakan pelbagai jenis kaedah seperti perkhidmatan kurier.

“Kita melihat ada (port) kawasan yang digunakan untuk menyampaikan dadah seperti di Petaling Jaya selatan, salah satu kawasan rintis. Mereka ambil kesempatan pada waktu PKPB kerana tidak ramai orang keluar dan menghidupkan semula tempat yang sebelum ini telah dibersihkan.

“PKPB ini juga dapat memberi ruang pada mereka ini, jadi kita harap dapat kerjasama dengan pihak polis serta agensi-agensi penguat kuasa meneliti lebih terperinci serta membuat pemeriksaan terhadap servis kurier seperti perkhidmatan menghantar barang ataupun makanan ketika Covid-19 ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi minum petang bersama Ketua Pengarah AADK di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Seniman Malaysia Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi.

Zulkifli berkata keadaan itu membimbangkan pihaknya kerana trend perniagaan yang paling maju ketika ini adalah perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal atau kereta kepada pelanggan yang berada di mana-mana.

“Dadah adalah satu perniagaan yang lumayan dan mereka ini tidak akan berhenti. Orang yang nak jual dadah akan sentiasa mencari pelanggan dan peluang yang baharu,” katanya.

Zulkifli berkata pelantikan selebriti menjadi ikon antidadah bertujuan untuk membantu AADK menyebarluaskan mesej kesan bahaya penyalahgunaan dadah.

“Ikon-ikon yang dilantik ini merupakan mereka yang mempunyai pengaruh besar terhadap kumpulan sasar kita iaitu remaja berumur antara 15 dan 29 tahun yang ramai terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

“Kita percaya dengan sokongan daripada persatuan seniman bersama ikon-ikon ini, kita akan dapat menggunakan pengaruh mereka dan bersama-sama membanteras penyalahgunaan dadah melalui pelbagai saluran, termasuk di media sosial,” katanya.

Untuk itu, AADK akan mengadakan kerjasama bersama lapan artis tempatan, termasuk Kumpulan Floor 88 dan Aiman Tino.

– BERNAMA


Pengarang :