AGENSI SELANGOR

Pengendali terminal Pelabuhan Klang diarah laksana langkah ketat kekang Covid-19

SHAH ALAM, 20 NOV: Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) telah mengarahkan pengusaha terminal agar segera melaksanakan langkah ketat bagi membendung penularan pandemik Covid-19 dalam usaha memastikan operasi di Pelabuhan Klang tidak terjejas.

Pengendali terminal yang terbabit ialah Northport (Malaysia) Bhd, Westports Malaysia Sdn Bhd (Westports) dan PKFZ Sdn Bhd (PKFZ).

Pengurus Besar PKA Kapten K Subramaniam berkata antara langkah yang diarah dilaksanakan ialah ujian PCR Covid-19 ke atas semua pekerja asing yang bekerja di terminal Pelabuhan Klang termasuk mereka yang terlibat dalam projek pembinaan di kawasan pelabuhan.

Beliau berkata arahan lain ialah majikan atau kontraktor dikehendaki segera melaporkan semua kes positif Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PKA.

“Hanya pekerja yang diuji negatif dibenarkan memasuki pelabuhan untuk meneruskan kerja. Tanpa keputusan ujian, kemasukan kesemua pekerja ini ke terminal pelabuhan adalah dilarang.

“Pekerja asing yang tinggal di kawasan terjejas iaitu Kuarters Pekerja Central Spectrum di Jalan Perigi Nenas, Pulau Indah yang diuji negatif Covid-19 adalah tertakluk kepada kuarantin kendiri selama 14 hari,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Subramaniam berkata setakat 12 tengah hari tadi, sejumlah 235 kes positif Covid-19 telah dilaporkan yang terdiri daripada 217 pekerja asing dan 18 penduduk tempatan.

“Semua kes positif diletak di bawah pengurusan dan penyeliaan KKM. Semua kawasan yang tercemar dalam pelabuhan dibersih dan dinyah kuman secara berkala termasuk peralatan kargo dan kenderaan yang digunakan untuk mengangkut pekerja.

“KKM juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan nyah kuman di kuarters pekerja dua kali sehari,” katanya.

Beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga, Westports telah menjalankan ujian ke atas keseluruhan tenaga kerjanya seramai kira-kira 6,000 orang yang kemudian menyaksikan enam kes positif dan kira-kira 90 kontak rapat diasingkan.

Katanya PKA, Northport dan PKFZ juga telah mengarahkan pekerja mereka menjalani ujian Covid-19.

Subramaniam berkata PKA memberi jaminan bahawa usaha menyeluruh sedang giat dilakukan bagi memastikan bahawa para pekerja, pelanggan dan pengguna pelabuhannya serta orang ramai selamat daripada ancaman pandemik berbahaya itu dan pada masa sama, operasi pelabuhan serta perkapalan berterusan dengan gangguan atau kelewatan minimum.

“PKA dan pengendali terminal kini bekerjasama rapat dengan KKM serta pihak berkuasa lain bagi membendung peningkatan kes positif seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Kami menggesa semua pihak yang menjalankan perniagaan dengan pelabuhan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang berkuat kuasa ketika ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :