Pemain Badminton Orang Pekak Malaysia Muhammad Shafiq Hasan dan Voon Wei Ying ketika menjalani latihan bersama Kelab Badminton Perangsang Menerusi Program Pembangunan Bakat Badminton bagi Orang Pekak di Bandar Sri Coalfields Clubhouse pada 25 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Perangsang Selangor peruntuk RM100,000 lahir pemain badminton orang pekak

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kumpulan Perangsang Selangor (Perangsang Selangor) memperuntukkan RM100,000 untuk Program Pembangunan Bakat Badminton bagi Orang Pekak dalam usaha melahirkan pemain terbaik daripada golongan tersebut.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik Perangsang Selangor Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata program yang dimulakan sejak 2014 itu merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan itu.

Katanya, prihatin terhadap golongan tersebut, justeru Perangsang Selangor menyediakan platform khas melalui program itu bagi mencungkil bakat dan potensi mereka, sekali gus bertujuan melahirkan atlet negara.

“Melalui program ini, kita menyediakan pelbagai latihan yang bersesuaian dan lengkap di samping memantapkan kemahiran mereka dalam sukan badminton untuk mewakili Malaysia ke Deaflympics.

“Atlet pekak yang telah kita (Perangsang Selangor) kenal pasti untuk mewakili negara adalah Boon Wei Ying dan Muhammad Shafiq Hassan, kedua-dua mereka ini sangat berbakat dan pernah memenangi beberapa pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menyaksikan sesi latihan atlet pekak bagi program pembangunan bakat badminton itu di BSC Clubhouse, Bandar Sri Coalfields di sini, hari ini.

Sementara itu, jurulatih program tersebut Jason Wong berkata kedua-dua atlet itu sememangnya menunjukkan prestasi dan komitmen sangat baik untuk berjaya dalam sukan itu.

“Justeru, sebagai jurulatih mereka, saya akan memastikan rutin latihan berjalan dengan lancar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Tidak dinafikan banyak pertandingan terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 namun kita tetap membuat persediaan yang mencukupi kepada para atlet untuk menyertai Sukan Orang Pekak Asean dan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik tahun hadapan,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :