Petugas kesihatan yang memakai set peralatan perlindungan diri (PPE) keluar selepas menjalankan saringan kesihatan ke atas penghuni Menara City One berikutan bangunan tersebut menjalani pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 1 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perkeso hasil PPE untuk petugas kesihatan Sabah

KOTA KINABALU, 28 NOV: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menyerahkan 280 set peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk kegunaan petugas barisan hadapan kesihatan di negeri ini.

Penyerahan dibuat oleh Pengarah Perkeso Negeri Sabah Dr Mohd Ali Hindia kepada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi pada satu majlis ringkas hari ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam ucapannya yang ditayangkan melalui rakaman video semasa majlis itu berkata Perkeso mengambil inisiatif untuk menghasilkan PPE bagi menampung keperluan petugas barisan hadapan kesihatan di Sabah ekoran bilangan kes yang masih tinggi.

“Kesemua 280 set PPE dihasilkan di Bengkel Jahitan Vokasional, Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka dalam tempoh lima hari. Set PPE tersebut dihasilkan oleh 15 orang termasuk pelatih vokasional dan Orang Berinsurans Perkeso yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat ini.

“Perkeso bukan sahaja menyediakan faedah kepada pekerja yang ditimpa bencana, malah kami juga mengutamakan keselamatan petugas barisan hadapan terutama dalam menangani keperluan bekalan PPE di hospital-hospital,” katanya.

Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat membantu mengurangkan risiko yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan yang sentiasa bertungkus lumus melawan penularan Covid-19 dan menyumbang kepada usaha kerajaan pusat dan negeri memerangi wabak Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :