Inspektor Noor Hidayu Aziz (kiri) menyerahkan dokumen pemilikan motosikal kepada Nur Athirah Abdul Latiff. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permaisuri ganti motor, sumber rezeki gadis penghantar makanan

SHAH ALAM, 6 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor berkenan menyampaikan sumbangan motosikal kepada wanita penghantar makanan yang ditimpa musibah.

Sumbangan peribadi oleh Tengku Permaisuri Norashikin diserahkan kepada Nur Athirah Abdul Latiff selepas motosikalnya dicuri ketika bekerja di Batu Caves, kelmarin.

“Baginda berasa amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang Nur Athirah.

Nur Athirah Abdul Latiff bersama motosikal yang diterima hasil sumbangan peribadi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Foto Facebook Selangor Royal Office

“Baginda berharap melalui sumbangan ini, Nur Athirah dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga,” titah baginda dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Sumbangan itu disampaikan oleh Juruiring Polis kepada DYMM Tengku Permaisuri Selangor Inspektor Noor Hidayu Aziz.

Tengku Permaisuri Selangor turut berharap masyarakat lebih peka dan bersifat kemanusiaan serta bertimbang rasa antara satu sama lain.

“Baginda turut mendoakan agar sekalian rakyat terus dimurahkan rezeki dan sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT,” titah baginda.

Nur Athirah, 23, anak kedua dari tiga beradik tinggal bersama ibunya dan menyara keluarga dengan melakukan kerja penghantaran makanan sepenuh masa.

Dia yang baharu dua minggu melakukan pekerjaan itu kehilangan motosikal sewaktu mengambil makanan di sebuah pasar raya di Batu Caves untuk dihantar kepada pelanggan.


Pengarang :