Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media khas selepas mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Perubahan intipati belanjawan dorong PAKATAN sokong – Anwar

SHAH ALAM, 29 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan beberapa pindaan dan pemberian tambahan diumum kerajaan dalam Belanjawan 2021 membantu rakyat dan tidak perlu dibantah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perubahan intipati menyentuh isu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium mendorong pihakya menyokong belanjawan dibentang pada 6 November lalu.

“Seminggu sebelumnya saya mengeluarkan kenyataan sekiranya tuntutan kita tidak dipenuhi, kita memilih untuk menolak keseluruhan Belanjawan 2021. Apa yang berlaku (Khamis lalu) ialah menteri kewangan membuat perubahan besar.

“Malah, pindaan dibuat membantu rakyat, mengapa kita harus tolak. Tetapi jika tidak dipenuhi, PAKATAN pilih untuk tolak,” katanya menerusi wawancara dengan The Vibes semalam.

Pengerusi PAKATAN berkata perubahan tersebut seperti mana dicadangkan termasuk program pengeluaran i-Sinar KWSP dengan had pengeluaran dinaikkan kepada RM10,000.

Selain itu, katanya, ia termasuk moratorium automatik pembayaran balik pinjaman bagi mereka yang berada dalam kategori berpendapatan rendah (B40) serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Khamis lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan beberapa pindaan dan pemberian tambahan hingga disokong PAKATAN serta diluluskan pada peringkat dasar.


Pengarang :