Individu pulang dari luar negara dipakaikan gelang pengawasan sepanjang tempoh kuarantin di rumah. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Pesakit Covid-19 lari dari hospital dijumpai semula

GEORGE TOWN, 16 NOV: Lelaki dipercayai pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini ditemukan di kawasan kaki lima deretan kedai di Bayan Lepas, malam tadi.

Lelaki tempatan berusia 23 tahun itu dijumpai kira-kira 9 malam oleh orang awam sebelum sepasukan petugas kesihatan yang lengkap berpakaian perlindungan peribadi (PPE) datang mengambilnya untuk dibawa semula ke HPP.

Difahamkan lelaki terbabit berjalan kaki dari HPP hingga ke kawasan Bayan Lepas iaitu jarak kira-kira 25 kilometer.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Dr. Asmayani Khalib ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara terbabit dan memaklumkan bahawa pesakit itu dibawa balik ke HPP untuk rawatan lanjut.

Lelaki berasal dari Kepala Batas, dekat sini itu dikesan tiada di katilnya pada 3.20 petang semalam, dipercayai melarikan diri dengan memakai baju dan seluar berwarna putih, manakala gelang pengawasan berwarna merah jambu ditinggalkan di atas katilnya.

– BERNAMA


Pengarang :