Sebuah pesawat ringan membuat pendaratan cemas di kilometer 47.8 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) dekat Kulai, Johor pada 22 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pesawat ringan mendarat cemas di Plus, juruterbang stabil

PUTRAJAYA, 22 NOV: Dua juruterbang warganegara Singapura dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah pesawat ringan kendalian mereka membuat pendaratan cemas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (arah selatan) dekat Sedenak, Johor pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Chester Voo berkata pesawat persendirian yang dikendalikan Premier Air Singapore itu sedang dalam penerbangan dari Senai ke Melaka semasa kejadian.

“Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Johor menerima panggilan pada 10.40 pagi daripada juruterbang pesawat yang memohon untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru oleh kerana menghadapi masalah teknikal,” katanya dalam kenyataan.

Voo berkata pesawat ringan jenis Beechcraft Model 35 Bonanza itu dipindahkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu lintas di lebuh raya.

Menurutnya pasukan mencari dan menyelamat menyelesaikan semua tugas-tugas yang diperlukan dan siasatan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

-BERNAMA


Pengarang :