Anggota Bomba dan Penyelamat zon Petaling melakukan melakukan sanitasi di Pangsapuri Damansara Bistari bagi mengekang daripada penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat jumlah kes semasa ketika tinjauan pada 14 Oktober 2020. Foto: BERNAMA
AGENSISELANGOR

Petaling kembali rekod kes baharu Covid-19 tertinggi

SHAH ALAM, 9 NOV: Petaling kembali menjadi daerah tertinggi merekodkan kes baharu Covid-19 hari ini dengan 51 jangkitan selepas Klang memegang status itu semalam.

Menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS), 21 kes dilaporkan di mukim Damansara dengan 12 daripadanya diuji positif hasil saringan pekerja diikuti saringan kontak rapat kepada kes positif (lapan) dan saringan bergejala (satu).

“Sebanyak 18 kes di mukim Sungai Buloh iaitu 11 membabitkan saringan pekerja dan tujuh daripada saringan kontak rapat kes.

“Di mukim Petaling, empat kes saringan pekerja dan dua saringan kontak rapat manakala enam kes di mukim Bukit Raja masing-masing tiga kes saringan kontak rapat serta saringan pekerja,” menurut agensi.

Sementara itu, Hulu Langat merekodkan 42 kes, Klang (29), Sepang (enam), Gombak (tiga), Kuala Langat (tiga), Hulu Selangor (dua), Kuala Selangor (satu) dan kes import (satu).

Enam daerah di Selangor diklasifikasi sebagai zon merah melibatkan Petaling, Hulu Langat, Klang, Sepang, Gombak dan Kuala Langat manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berstatus kuning.

Keseluruhannya, negeri ini mengumpul 6,287 kes Covid-19 dengan 1,442 daripadanya aktif dan angka kematian kekal 27 orang.

Seramai 208 kes dibenarkan keluar hospital hari ini dengan Hulu Langat mencatat kes sembuh tertinggi iaitu 94 kes menjadikan jumlah kumulatif pulih 4,805.


Pengarang :