Selangorkini
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pinda syarat Rumah Selangorku, lagi 30,000 unit bakal dibina

Pindaan syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D kepada jenis E dijangka menambahkan kerancakan pembinaan unit rumah berkenaan.

Insentif dalam Belanjawan Selangor 2021 bakal menambah 30,000 unit Rumah Selangorku dan menjadikan jumlah keseluruhan 60,000 unit dalam tempoh tiga tahun.

Kemudahan itu juga dijangka menarik minat pemaju untuk mempercepat pembinaan Rumah Selangorku Idaman dan Harapan yang berkeluasan 1,000 kaki persegi pada harga maksimum RM250,000 seunit.

Kelengkapan asasnya pula meliputi kabinet dapur, penghawa dingin dan almari baju di semua bilik serta pemanas air (semua bilik mandi). Ia lebih memberi keselesaan kepada pembeli berbanding jenis A dan B yang cuma dilengkapi kipas, lampu dan pintu jeriji.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Dato’ Dr Juhari Ahmad berkata permohonan dibuka untuk dua tahun sehingga 31 Disember 2022. Pemaju perlu membina unit Rumah Selangorku dalam tempoh tersebut.

“Pemaju disyaratkan memperuntuk 15 hingga 30 peratus daripada kehilangan/pindaan Rumah Selangorku jenis A dan B kepada LPHS secara percuma sebagai kontra atas pengecualian pindaan itu,” katanya.

Semua permohonan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku untuk dibincang sebelum diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pembinaan Rumah Selangorku menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat negeri ini berpeluang memiliki kediaman sendiri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jenis pindaan

Bagi menggalakkan pemaju yang komited membina Rumah Selangorku, LPHS membenarkan mereka memohon pindaan dari satu jenis ke satu jenis Rumah Selangorku.

Contohnya, kelulusan asal bagi membina 100 unit Rumah Selangorku jenis A boleh dipinda kepada 100 unit rumah jenis C. Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku boleh memberi pertimbangan terhadap syor itu.

Namun, pemaju perlu membayar 10 hingga 20 peratus daripada nilai perbezaan sebagai sumbangan kepada Kerajaan Negeri yang disalur semula ke program berkaitan perumahan.

Rumah Selangorku diperkenal pada 2014 iaitu rumah mampu milik untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah, sederhana rendah dan sederhana yang menggantikan dasar Rumah Kos Rendah (RKR).

Penjenamaan semula Rumah Selangorku pada 2015 dilihat memberi keselesaan kepada pembeli daripada segi saiz, reka bentuk atau komunitinya berdasarkan kemampuan isi rumah pada harga RM42,000 sehingga RM250,000 seunit.

Rumah Selangorku dijenamakan lagi pada 2018. Ia perlu dibina mengikut spesifikasi lebih terperinci bagi memastikan harganya terkawal iaitu bawah RM250,000.

Ada lima kategori kelayakan berdasarkan pendapatan isi rumah pemohon iaitu maksimum RM3,000 sebulan bagi jenis A manakala maksimum hingga RM10,000 untuk jenis B, C, D, E.

Kriteria kelayakan:

  • Jenis A: Maksimum pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan
  • Jenis lain: Pendapatan bulanan bawah RM10,000 sebulan

Pengarang :