Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shanmugamoorthy Chinniah memeriksa dokumen salah seorang pengguna jalan raya ketika memantau pergerakan orang ramai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 25 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

PKPB di Selangor disambung sebulan lagi sehingga 6 Disember

SHAH ALAM, 7 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disambung sehingga 6 Disember selaras dengan pelaksanaan PKPB di beberapa negeri lain Semenanjung Malaysia.

Menteri kanan (keselamatan) berkata PKPB dilaksanakan di Semenanjung selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

“Selepas mendengar perkembangan kes daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mesyuarat pagi tadi turut bersetuju melaksanakan PKPB di seluruh Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan bermula 9 November hingga 6 Disember.

“Pelaksanaan ini membolehkan KKM membuat saringan bersasar dan mengekang pergerakan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri pada sidang media hari ini.

Beliau berkata SOP bagi PKPB  ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya:

• Pergerakan keluar masuk/merentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan dan perlu mendapat kebenaran daripada PDRM.

• Bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.

• Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

• Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz adalah ditutup.

• Aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid dan surau seperti laungan Azan, solat lima waktu dan solat Jumaat akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

• Semua aktiviti sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan.

• Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.

• Semua kegiatan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan.

• Restoran/kedai makan secara dine-in dihadkan 2-4 orang satu meja dengan SOP premis makanan yang telah ditetapkan. Walaubagaimanapun, pembelian makanan digalakkan secara bungkus, penghantaran dan pandu lalu.

• Pasar Harian dibuka jam 6 pagi – 2 petang, Pasar Borong 4 pagi – 2 petang, Pasar Tani 6 pagi – 12 tengah hari.

• Operasi Pasar Malam adalah bermula 4 petang sehingga 10 malam dengan pematuhan SOP yang ketat dan dengan pengawasan anggota RELA.

• Operasi Stesen Minyak bermula daripada 6 pagi hingga 10 malam (kecuali di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam)

• Pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT, teksi/ e-hailing (maksimum 2 penumpang) dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

• Kenderaan bawa pekerja boleh bawa penumpang seperti ditetapkan sebelum ini.

• Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan dibenarkan beroperasi.

• Waktu operasi klinik, hospital Kerajaan dan swasta dibenarkan 24 jam manakala Farmasi dan kedai ubat-ubatan mulai 8 pagi sehingga 11 malam.

• Maklumat lanjut SOP boleh rujuk dilaman sesawang MKN.

 


Pengarang :