Pekerja feri penumpang ke Langkawi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengambil inisiatif membersihkan 35 buah feri secara lebih kerap bagi mengelak sebarang risiko penularan Covid-19 di Jeti Penumpang Antarabangsa Kuah pada 11 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPB: Hanya satu perjalanan feri ulang alik ke Langkawi dalam sehari

LANGKAWI, 9 NOV: Perjalanan feri ulang alik bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi dihadkan kepada satu perjalanan sehari bermula hari ini hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat, kata Pengarah Laut Wilayah Utara Jabatan Laut Malaysia Mohd Hafiz Abdul Majid.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya menerima permohonan daripada syarikat pengendali feri, Konsortium Ferry Line Ventures untuk mengurangkan jumlah perjalanan feri harian melibatkan kedua-dua laluan tersebut dan permohonan itu telah dihantar ke ibu pejabat untuk kelulusan.

“Jabatan Laut Malaysia telah meluluskan permohonan operator feri tersebut. Bermula esok (hari ini), hanya satu perjalanan sehari bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi akan beroperasi.

“Perjalanan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah dijadualkan pada 10 pagi, manakala feri dari Kuala Kedah ke Langkawi pada 5 petang. Jadual perjalanan ini berkuat kuasa bermula esok (hari ini) hingga tamat tempoh PKPB,” katanya kepada Bernama semalam.

Mohd Hafiz berkata selain itu, pihak operator juga telah memohon untuk menghentikan operasi melibatkan laluan Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis dalam tempoh PKPB.

“Permohonan ini juga telah diluluskan dalam tempoh PKPB, perjalanan feri penumpang dari Kuala Perlis-Langkawi-Kuala Perlis dihentikan operasi,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :