Setiap premis perniagaan wajib menyediakan kod QR aplikasi MySejahtera untuk diimbas pelanggan sebelum masuk ke kedai selain menyediakan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan pada 24 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKPB Lembah Klang tidak gagal, mampu tangani Covid-19

PUTRAJAYA, 16 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak pertengahan Oktober lalu bukanlah satu kegagalan, tegas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menyangkal dakwaan PKPB telah gagal, Dr Noor Hisham berkata lonjakan kes Covid-19 di Lembah Klang kini hanya terhad kepada pekerja binaan dan bukan dalam komuniti.

“Saya tidak melihat PKPB adalah satu kegagalan. Ia berfungsi dengan baik (dalam mengawal Covid-19). PKPB berjaya membendung dan mengurangkan jangkitan di Sabah.

“Untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memakan kos yang besar. Jadi kita kena seimbangkan antara nyawa dan mata pencarian dengan PKPB,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 16 November 2020. Foto BERNAMA

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan telah bersedia dari awal untuk menghadapi peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang (Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya) serta Negeri Sembilan.

Katanya, PKP tidak dilaksanakan kerana 40 peratus ekonomi negara tertumpu di Selangor.

Oleh itu, PKPB dilaksanakan (di Lembah Klang) pada 14 Oktober, kata Dr Noor Hisham.

Mengulas kes Covid-19 di Lembah Klang, Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kluster besar iaitu Kluster Tapak Bina Damanlela dan Kluster Merpati di tapak pembinaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

“Kebanyakan kes dari tapak pembinaan adalah pekerja asing,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata daripada 1,103 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini, 53.7 peratus melibatkan pekerja asing.

Hari ini Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya merekodkan 543 kes baharu Covid-19 berbanding Sabah yang mencatatkan 288 kes.

-BERNAMA


Pengarang :