Suasana di hadapan asrama pekerja wanita Top Glove Jalan Abadi 1A Meru, Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan sekitar jam 6.30 petang pada 16 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD asrama Top Glove Klang libatkan 5,700 pekerja

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari yang dikuatkuasakan di asrama pekerja asing Top Glove Corp Bhd di Meru, Klang, mulai hari ini, melibatkan 5,700 pekerja dan bukannya 13,190 seperti yang dilaporkan, kata syarikat itu.

Dalam satu kenyataan, pengeluar sarung tangan getah itu berkata pekerja yang terjejas mewakili kira-kira 27 peratus daripada jumlah pekerjanya yang seramai 21,000.

“Kilang-kilang kami di Meru terus beroperasi dengan kapasiti yang rendah dan pekerja yang tidak berada di bawah PKPD bekerja di bawah tatacara operasi piawai (SOP) ketat selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.

“Sebahagian besar pekerja yang terjejas tidak bergejala dan tidak ada simptom seperti demam atau sebarang sakit lain,” jelas Top Glove.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan sebagai berkata 13,190 pekerja yang menginap di asrama syarikat itu di Klang, serta hampir 1,200 penduduk di kawasan sekitarnya, akan ditempatkan di bawah PKPD sehingga 30 November 2020.

-BERNAMA


Pengarang :