Reaksi seorang penduduk yang meninjau proses saringan ujian Covid-19 yang dijalankan oleh petugas kesihatan di kawasan yang dikenakan PKPD ketika tinjauan di Flat Sungai Emas, Kuala Langat pada 29 Oktober 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

PKPD: Flat Sungai Emas catat satu lagi kes positif Covid-19

SHAH ALAM, 1 NOV: Satu lagi kes positif Covid-19 dikesan di Flat Sungai Emas, Kuala Langat hari ini menjadikan keseluruhan 43 kes.

Pegawai daerah berkata semua 1,016 penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) itu sudah disaring namun keputusan penuh masih belum diperoleh.

“Anggaran awal saringan ini melibatkan 1,300 individu namun ada beberapa rumah tidak berpenghuni.

“Penduduk disahkan negatif diberikan Annex 17 iaitu pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah,” kata Mohd Jusni Hashim kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata masalah bekalan makanan tidak timbul selepas Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat menjalankan operasi kedai bergerak selain jualan dalam talian dibenarkan.

“Kerajaan Negeri turut menyumbangkan bakul makanan asas bernilai RM100 kepada setiap rumah,” katanya.

Bermula 28 Oktober lalu hingga 10 November Flat Sungai Emas dikenakan PKPD susulan peningkatan jangkitan Covid-19 di kawasan itu.

 


Pengarang :