Penghuni di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 November 2020 dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19. Foto BERNAMA
SELANGOR

PKPD Medan 88: 13 penghuni kembali ke rumah, sedia disaring

SHAH ALAM, 13 NOV: Penghuni Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang dikesan meninggalkan kediaman pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mula pulang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang berkata pihaknya dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang akan mengatur masa sesuai untuk menjalankan saringan Covid-19 ke atas mereka.

“Seramai 13 daripada 400 penghuni  sudah pulang. Mungkin mereka menerima maklumat daripada orang luar atau membaca laporan berita bahawa pihak kami dan polis sedang mengesan mereka.

“Tarikh saringan akan diputuskan melalui perbincangan bersama PKD Sepang petang ini,” kata Mohamad Zain A Hamid ketika dihubungi.

Mohamad Zain juga percaya baki penghuni yang gagal menjalani saringan Covid-19 akan pulang ke rumah secara berperingkat dalam masa beberapa hari lagi.

“Kita masih menunggu kepulangan mereka tetapi berdasarkan perkembangan malam tadi, saya yakin proses saringan melibatkan kesemua penduduk di kawasan berkenaan akan segera selesai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Zain berkata bekalan makanan kering dan basah kepada penduduk terjejas di kawasan terbabit sudah diagihkan sejak hari pertama penguatkuasaan bergantung pada permohonan.

“Mereka boleh menghubungi bilik gerakan pengurusan bencana di talian 019-9976657 yang beroperasi 24 jam,” katanya lagi.

PKPD Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang berkuat kuasa dari 12 hingga 25 November membabitkan 284 premis serta 800 penduduk.


Pengarang :