Kawasan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang dipasang kawat duri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semasa tinjauan di sekitar kawasan itu pada 12 November 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

PKPD Medan 88: 53 positif wabak, kontak rapat diminta buat saringan

SHAH ALAM, 23 NOV: Seramai 53 individu di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang disahkan positif Covid-19 setakat semalam.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah Sepang berkata mereka adalah antara 526 penduduk yang disaring selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sehingga kini kita dapati masih terdapat segelintir individu yang belum disaring. Kita minta juga mereka yang ada kontak rapat dengan penduduk di sini agar bagi kerjasama tampil buat saringan,” kata Mohamad Zain A Hamid ketika dihubungi.

Bagaimanapun, menurutnya pihak polis akan mengesan individu tersebut menerusi MySejahtera atau rekod daftar di premis yang mereka kunjungi.

“Saringan ini juga bagi memudahkan pihak berkuasa mengetahui punca jangkitan selain mengelak penyakit itu dijangkiti daripada satu tempat ke satu tempat,” katanya.

PKPD melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk berkenaan dikuatkuasakan pada 11 November dan dijadual berkahir Rabu ini.


Pengarang :