Penghuni kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 November 2020 dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD: Penduduk Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi beri kerjasama baik

SEPANG, 11 NOV: Penghuni di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19.

Tinjauan Bernama mendapati seawal pukul 8 pagi penduduk sudah mula mendaftarkan diri secara berkumpulan untuk menjalani ujian wabak berkenaan, dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah menyediakan dua stesen untuk menyaring kira-kira 800 penduduk di kawasan itu.

Seorang petugas kesihatan yang ditemui Bernama, Dr M. Vikneswari berkata setiap stesen menempatkan enam kaunter pendaftaran dan pada satu-satu masa dua penduduk akan menjalani ujian calitan.

“Di kaunter pendaftaran, kami akan menemu ramah penduduk untuk mendapatkan maklumat asas seperti pekerjaan, tempat yang mereka pergi, dengan siapa mereka berhubung, dan semua penduduk memberikan kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Beliau berkata ada juga petugas-petugas kesihatan yang berpakaian lengkap set peralatan perlindungan diri (PPE) mengunjungi dari satu rumah kedai ke rumah kedai yang lain, mengetuk pintu rumah penduduk dan meminta mereka menjalani saringan, kerana menurutnya ia bagi memastikan penduduk tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai di stesen-stesen yang disediakan.

Di samping itu, pengumuman melalui pembesar suara dibuat dari dalam kenderaan hebahan Jabatan Penerangan pada setiap 10 minit, meminta penduduk tampil untuk membuat saringan.

Kedai-kedai yang menjual keperluan harian seperti 7Eleven serta restoran KFC dilihat beroperasi seperti biasa di sini, dan tinjauan Bernama mendapati laluan keluar dan masuk ke kawasan berkeluasan 2.64 hektar itu dikawal ketat oleh polis dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pemasangan penghadang laluan di sekitar kawasan itu telah bermula sejak kira-kira pukul 6 petang semalam dengan laluan terlibat ditutup dengan kawat duri serta penghadang bongkah konkrit.

Pusat perniagaan Medan 88 yang menempatkan 284 premis mempunyai kira-kira 800 penduduk, dan pagi tadi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan sedikit masa untuk meninjau sekitar kawasan berkenaan.

Maklumat lanjut berhubung pelaksanaan PKPD di kawasan ini akan diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini.

– BERNAMA


Pengarang :