Smart Selangor SME Platform, inisiatif bagi memacu pertumbuhan dan peningkatan prestasi PKS melalui automasi pengurusan dan operasi perniagaan, pemasaran digital serta e-dagang. Foto portal Smart Selangor SME Platform
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Platform SME didik usahawan ilmu digital, luas perniagaan

SHAH ALAM, 4 NOV: Selangor membangunkan pangkalan data berpusat bagi melatih 200,000 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) berhubung pendigitalan.

EXCO pembangunan usahawan berkata platform SME kendalian Smart Selangor Delivery Unit membantu usahawan meluaskan pemasaran produk melalui media sosial.

Rodziah Ismail berkata seramai 1,000 peniaga berjaya didaftarkan dalam tempoh dua bulan pertama selepas ia diperkenal pada Julai lalu.

“Usaha ini akan diteruskan sehingga 2025 supaya sasaran Selangor untuk menyumbang nilai ekonomi lebih besar kepada negara akan tercapai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menggalakkan PKS yang berdaftar dan beroperasi di negeri ini untuk menyertai platform tersebut melalui portal www.smartselangor.com.my/smartsme.

Rodziah menjelaskan maklumat perniagaan akan dikumpul bagi mengenal pasti kekuatan dan kekangan peniaga supaya proses pemasaran produk serta bantuan disalur dengan lebih berkesan.

“Direktori digital PKS Selangor juga akan diwujudkan bagi memusatkan peniaga yang akan mendedahkan mereka kepada pasaran meluas dalam dan luar negara,” kata beliau lagi.


Pengarang :