Datuk Razarudin Husain (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 872 ketulan dadah jenis ganja seberat 865.7 kilogram yang dirampas dalam lapan serbuan di Pulau Pinang dan Kedah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 15 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis tahan 12 individu, rampas ganja RM2.16 juta

GEORGE TOWN, 15 NOV: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dari Laos selepas menahan 12 individu termasuk seorang wanita warga Laos dan merampas 865.7 kilogram (kg) ganja bernilai RM2.16 juta dalam lapan serbuan di Pulau Pinang dan Kedah, Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata dalam operasi bermula 12.15 tengah malam hingga 6.30 pagi itu, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga dalang utama sindiket di sebuah premis di Jitra, Kedah.

Berikutan itu, polis kemudiannya menahan seorang wanita warga Laos berusia 40an di Bedong, Kedah yang dipercayai berperanan sebagai perantara bagi sindiket itu kerana dadah yang dibawa masuk dipercayai dari Laos melalui Thailand sebelum ke negara ini menggunakan jalan laut.

Dalam pada itu, Razarudin berkata menerusi serbuan pertama, polis menahan dua lelaki di kawasan Sungai Nibong di sini serta pemeriksaan dalam kereta yang dinaiki suspek menemukan 250 ketul ganja dipercayai baru diambil daripada sindiket pengedaran dadah dan mahu dihantar kepada pembeli.

“Berikutan itu polis menahan seorang lagi lelaki di Sungai Nibong sebelum menyerbu sebuah bengkel membaiki bot di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan dan menjumpai 622 ketulan dadah dipercayai ganja disembunyikan di situ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang berperanan sebagai penjaga bengkel berkenaan bagi memastikan semua dadah tersimpan dalam keadaan selamat.

“Polis kemudiannya menahan empat lagi lelaki di sekitar negeri ini yang merupakan nelayan serta ahli sindiket tersebut dan peranan mereka adalah membantu membawa masuk dadah melalui jalan laut ketika mereka menangkap ikan di perairan termasuk sempadan negara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Razarudin berkata susulan penahanan semua ahli sindiket pengedaran dadah yang mempunyai hubungan dengan rangkaian dadah antarabangsa itu, polis turut menyita enam buah kenderaan antaranya jenis BMW, Isuzu Dmax, Perodua Myvi dan Honda City dan bot fiber, enjin bot serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM280,752.

“Tiga daripada mereka yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah manakala empat lelaki positif dadah. Semua mereka kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 2.9 juta penagih,” katanya.

Menurut beliau, penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyumbang kepada peningkatan rampasan dadah, manakala sindiket pula mengalih modus operandi penyeludupan menerusi jalan laut dengan menggunakan bot fiber atau nelayan.

-BERNAMA


Pengarang :