Anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berhadapan Bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang pada hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19 pada 20 MAC 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Polis tahan 502 individu ingkar PKPP, 32 direman – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 502 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 204 individu ditahan kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka (99), premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (63) serta premis perniagaan yang didapati gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (55).

“Kesalahan rentas daerah dan negeri bagi kawasan PKPB tanpa kebenaran (40) dan lain-lain (41). Secara keseluruhan seramai 470 individu dikompaun manakala 32 individu pula direman.

“Bagi Operasi Benteng pula, seramai 38 pendatang tanpa izin, dua tekong ditahan dan lapan kenderaan darat dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi kuarantin wajib, seramai 66,823 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 67 hotel dan 21 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta sejak 24 Julai lalu.

Katanya daripada jumlah itu, seramai 9,569 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 388 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Setakat ini seramai 56,866 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Mereka pulang dari pelbagai negara seperti Filipina, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, dan Ethiopia.

Dalam pada itu beliau berkata berdasarkan pemantauan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi.

Ismail Sabri berkata pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 848 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard PKPP mendapati, kesemua premis telah mematuhi arahan ditetapkan.

“Kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri, terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :