Premis disyaki melakukan pembuangan efluen secara tidak sah ke Loji Rawatan Kumbahan IWK Taman Volex, Rawang sehingga menyebabkan pencemaran di Sungai Selangor disita Majlis Perbandaran Selayang awal pagi 11 November 2020. Gambar: LUAS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Premis disyaki punca cemar Sungai Selangor disita

SHAH ALAM, 11 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita premis disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Selangor semalam, kata Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan bersepadu bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Daerah Gombak serta polis malam tadi.

“Luas akan mengeluarkan Surat Arahan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122 Enakmen Luas 1999 kepada premis selain mengarahkan kerja pemulihan segera tapak berkenaan.

“Luas turut mengeluarkan Surat Arahan Seksyen 121 (1) Enakmen Lembaga Urusa Air Selangor  kepada Indah Water Konsortium (IWK) bagi menutup aliran dan pembersihan serta-merta loji rawatan kumbahan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Agensi berkata pihaknya meneruskan pemantauan bagi memastikan tiada pencemaran berlaku di Sungai Selangor.

Pencemaran semalam menyebabkan Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas.

Susulan itu lebih 1.1 juta pemegang akaun di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas manakala bekalan air dijangka pulih bermula jam 3 petang.


Pengarang :