Projek bersama Selangor Youth Community fasa pertama itu dilaksanakan di Universiti Teknologi Mara dan Universiti Putra Malaysia membabitkan 1,900 pelajar. Foto ihsan Selangor Youth Community
AGENSISELANGOR

Projek ‘Help-U’ ringankan beban pelajar terkandas akibat PKPB

SHAH ALAM, 22 NOV: Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) menganjur projek ‘Help-U’ bagi meringankan perbelanjaan makanan pelajar yang terkandas di kampus akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yayasan berkata fasa pertama projek bersama Selangor Youth Community (SAY) dilaksanakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) membabitkan 1,900 pelajar.

Bantuan sumbangan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah kepada pelajar universiti yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Foto ihsan Selangor Youth Community

“Bantuan ‘Help-U’ terus disalurkan kepada Wakaf dan Zakat UPM (Wazan) serta Bank Makanan Siswa UiTM yang bertanggungjawab untuk menerima dan mengagihkan bantuan kepada pelajar buat masa kini.

“Sebanyak 1,500 barangan makanan pelbagai seperti mi segera, kopi dan aneka biskut diserahkan kepada dua pihak tersebut,” katanya dalam kenyataan.

YRMS berharap projek itu dapat mengurangkan beban pelajar selain meningkatkan kesedaran masyarakat agar menghulur bantuan antara satu sama lain.

“Ada sebilangan pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman terutama di kawasan zon merah dan ada segelintir mereka terpaksa menetap di kampus untuk menggunakan perkhidmatan internet bagi menjalankan tugasan serta mengikuti kelas dalam talian.

“Tidak dinafikan pelajar yang tinggal di kampus memerlukan wang perbelanjaan tambahan untuk menampung makanan harian mereka,” katanya.


Pengarang :