Exco Kerajaan Negeri Ir Izham Hashim ketika sesi perbahasan sidang Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 2 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat di Selangor siap 61 peratus

SHAH ALAM, 2 NOV: Projek pembangunan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Selangor sudah disiapkan kira-kira 61.22 peratus sehingga September lalu.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata kerja pembinaan membabitkan Seksyen 1 iaitu dari Banting ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Seksyen 2 dari SKVE ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

“Sasaran baharu bagi lebuh raya ini siap adalah pada 2024 berbanding sebelum ini awal 2023, kelewatan tersebut disebabkan kerana isu tanah di Seksyen 1 dan terdapat jajaran baharu.

“Pada masa sama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menjadi penyumbang utama,” kata Ir Izham Hashim ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Lau Weng San pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

WCE dibina sepanjang 233 kilometer menghubungkan di antara Taiping, Perak dengan Banting, Selangor membabitkan kos keseluruhan RM5.044 bilion.

Ia mempunyai 21 persimpangan dan turut dihubungkan dengan beberapa lebuh raya utama termasuk SKVE, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan (NSE), Lebuhraya Selat Klang Utara (NNKSB) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Pada 5 Ogos lalu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata status kemajuan pembinaan WCE setakat 25 Jun lalu adalah pada kadar 66.51 peratus.

Katanya, pembukaan seterusnya bagi WCE yang merentasi Perak dan Selangor akan dilakukan pada pertengahan Ogos tahun depan, membabitkan jajaran Seksyen 11 lebuh raya berkenaan.


Pengarang :