Keadaan banjir kilat di Sungai Serai masih tidak surut pada jam 6 petang ketika tinjauan pada 4 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Projek RTB Sungai Langat Fasa 2 dilaksana secara berfasa

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 bagi mengatasi masalah banjir di kawasan sekitar Hulu Langat akan dijalankan secara berfasa dan dijangka mengambil masa lima tahun untuk dilaksanakan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek berkenaan dipohon dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh kementeriannya melalui agensi pelaksana, Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Ia melibatkan proses pelantikan perunding bagi reka bentuk terperinci, kerja ukur, penyiasatan tanah, panggilan tender kerja dan tempoh pembinaan projek itu,” katanya pada Sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) berhubung desakan menyegerakan pelaksanaan projek Sungai Langat Fasa 2.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata skop projek itu melibatkan kerja-kerja seperti pengukuhan, pelebaran dan pendalaman sungai, struktur pembinaan ban serta kerja-kerja penstabilan tebing, membina dan menaik taraf kolam takungan banjir dengan mewujudkan kawasan landskap.

“Selain itu, skop projek turut meliputi kerja-kerja menaik taraf sistem saliran utama sedia ada, membina kunci air, membina sistem pam (termasuk rumah pam) serta membina sistem perangkap sampah, membina struktur tebatan banjir dan membina jambatan dan lintasan,” katanya.

Beliau berkata lantikan perunding akan dibuat untuk menentukan secara keseluruhan penyelesaian kepada masalah banjir di sepanjang Sungai Langat melibatkan Sungai Gabai, Sungai Tekala, Sungai Pangsun dan Sungai Congkak.

“Kajian Semula Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Langat (IRBM) akan disediakan di bawah IRBM Fasa II RMK12 sebagai perancangan jangka masa panjang khusus terhadap sungai yang berada di Hulu Langat,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :